SIK, 3 Mei (Hrkh) - Ahli Parlimen Sik, Profesor Emeritus Dato' Shahnon Ahmad menyerahkan kepada kerajaan untuk menarik balik atau tidak gelaran "Sastrawan Negara" (SN) yang dianugerahkan kepada beliau.

"Itu tugas kerajaan samada mahu menarik balik atau sebaliknya. Itu hak mereka kerana yang beripun ialah Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang DiPertuan Agung hasil penghasilan sastera yang bermutu serta menepati citarasa rakyat, " terangnya.

Umno atau saluran politik kata beliau, tiadak hak untuk mendesak DBP atau kerajaan untuk menarik balik anugerah yang bersejarah dalam dirinya.

Beliau ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Dewan bahasa dan Pustaka (DBP), Dato' A. Aziz Deraman menambah, "Saya tidak kisah tentang isu ini bahkan merasa puas kerana bercakap perkara yang sebenar."

Sebenarnya sambung Dato' Shahnon lagi, isu ini menjadi hangat apabila kenyataannya menyokong perkataan 'barua' yang diucapkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pilihan raya kecil (Dun) Indera Kayangan, Perlis.

"DBP dan kerajaan sahaja boleh bersuara dalam hal ini tetapi jangan Umno kerana Umno tidak berhak untuk berbuat demikian, " tegasnya.

Kata beliau, walaupun setakat ini tidak lagi kedengaran desakan terhadap urusetia Anugerah Sasterawan Negara namun beliau dapat menghidu perkara ini akan berlaku dengan campur tangan politik tertentu.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tegasnya, tidak bercadang menarik balik penganugerahan tersebut yang diterimanya pada 1982 selepas Allahyarham Kamaluddin Mohamad atau dikenali sebagai Keris Mas.

Tetapi, katanya, isu ini akan berpanjangan semata-mata kerana dia menjadi Ahli Parlimen pembangkang yang berjaya mengalahkan menteri kanan dalam Barisan Nasional (BN).

"Semuanya ini adalah taktik Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sudah bankrap politik. Mereka akan cari apa saja kesalahan untuk mengajak rakyat turut mengutuk walaupun apa yang kita perkatakan releven dengan kezaliman yang dilakukan, " ujarnya yang juga pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Perkataan 'barua' sambung Dato' Shahnon, begitu pedas kepada mereka yang benar-benar melakukan kezaliman dan penindasan.

Perkataan seumpama itu juga tambahnya, patut diucapkan kerana kezaliman telah melampau batas bukannya sengaja diucapkan untuk menghina Umno dan orang tertentu.

"Sudah wajar perkataan itu dilemparkan kepada sesiapa yang bertindak menjadi agen kepada kerajaan yang terlampau zalim. Ini bermakna bukan menghina sebaliknya gelaran yang sepatutnya, " tegas beliau.

 


Top            Home

Sumber :
Harakahdaily.com
http://www.harakahdaily.net