Adakah Abu Talib telah mengimport kultus kerahsiaan dan menjadikan Suhakam lebih samar-samar

 

Pengerusi Suhakam baru, Tan Sri Abu Talib Othman yang menasihati kerajaan supaya menjadikan Akta Rahsia Rasmi perundangan yang paling drakonian di dunia beradab dengan memperuntukkan hukuman penjara satu tahun yang wajib bagi apa-apa sabitan bersalah walau betapa remeh kesalahan berkenaan, harus menjelaskan sama ada beliau telah mengimport kultus kerahsiaan ke dalam Suhakam lantaran menjadikan Suhakam kedua lebih samar-samar dan berahsia, kurang bertanggungjawab dan telus berbanding dengan Suhakam sebelumnya?

Ini adalah kerana tidak terdapat apa-apa berita mengenai keputusan dan rancangan tindakan Suhakam selepas mesyuarat pertamanya pada hari Jumaat, selain pandangan peribadi dan sentimen Abu Talib – amat berlainan daripada mesyuarat sulung Suhakam pertama di bawah pimpinan pengerusinya, Tan Sri Musa Hitam pada 24 April, 2000 yang diikuti dengan pengumuman awam pada hari yang sama bahawa Suhakam telah melantik empat kumpulan kerja yang bertanggungjawab di atas tugas dan tanggungjawab Suhakam dan pesuruhjaya-pesuruhjaya yang ditugaskan kepada setiap kumpulan.

Empat kumpulan kerja berkenaan dalam Suhakam pertama adalah:

(i) Kumpulan Kerja Pendidikan

Profesor Chiam Heng Keng (Pengerusi)
Tan Sri Simon Sipaun
Datuk Lee Lam Thye
Profesor Mohd Hamdan Adnan

(ii) Kumpulan Kerja Pembaharuan Perundangan

Puan Mehrun Siraj (Pengerusi)
Datuk K. Pathmanaban
Cik Zainah Anwar

(iii) Kumpulan Kerja Triti dan Suratcara Antarabangsa

Datuk Mahadev Shankar (Pengerusi)
Datuk Dr. Salleh Mohd. Nor
Dr. Mohammad Hirman Ritom

(iv) Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan

Tan Sri Harun Mahmud Hashim (Pengerusi)
Tan Sri Datuk Anuar Zainal Abidin (Timbalan Pengerusi)
Datuk Mahadev Shankar
Datuk Dr. Salleh Mohd. Nor
Profesor Mohd Hamdan Adnan
Puan Mehrun Siraj
Dr. Mohammad Hirman Ritom

Sekurang-kurangnya Suhakam baru sepatutnya lakukan setelah mesyuarat pertamanya pada hari Jumaat adalah untuk mengumumkan kepada orang ramai tentang komposisi kumpulan kerja Suhakam dengan mengambil kira krisis keyakinan yang menimpa Suhakam akibat daripada pengguguran pesuruhjaya-pesuruhjaya yang paling tekun, berprihatin dan komited, khususnya Anuar, Mehrun dan Salleh yang juga telah menghuru-harakan perjalanan dan keberkesanan kumpulan-kumpulan kerja tersebut.

Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam yang menjadi sasaran kemarahan dan pemburuk-burukan oleh kerajaan, terutamanya kerana siasatan awam dan laporannya mengenai insiden Lebuh Raya Kesas yang merencanakan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hak asasi manusia oleh pihak polis, kini hampir-hampir dicacatkan dengan pengguguran tiga ahli yang paling aktif dan komited, yakni Anuar, Mehrun dan Salleh, daripada Suhakam yang baru. Sungguhpun Harun dilantik sebagai pengerusi kumpulan kerja tersebut pada mesyuarat sulung Suhakam pada 24 April 2000, beliau tidak terlibat dalam mana-mana siasatan Suhakam selepas menduduki jawatan Timbalan Pengerusi Suhakam.

Siapakah yang berada dalam Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam sekarang? Adakah Hamdan akan dilantik sebagai pengerusi untuk membekalkan kesinambungan, khasnya apabila ia menghadapi aduan bertimbun-timbun yang masih belum ditangani berkenaan dengan penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia?

Adakah pengguguran Anuar, Mehrun dan Salleh di atas komitmen dan perlaksanaan berprihatin peranan statutori mereka untuk “melindungi” hak asasi manusia merupakan amaran kepada kumpulan pesuruhjaya Suhakam yang baru supaya tidak mengikuti jejak langkah mereka?

Jawapan-jawapan kepada persoalan ini sebahagian besarnya akan menjadi syarat penting dalam menentukan sama ada Suhakam akan merosot menjadi suatu alat lemah dan menurut kata kerajaan ataupun berkembang menjadi pelindung hak asasi manusia yang kuat dan dinamik sebagaimana yang dimandatkan oleh Akta Suhakam dengan tidak terhutang budi kepada kerajaan.

Kepimpinan dan komposisi Kumpulan Kerja Pembaharuan Perundangan adalah satu lagi perkara yang menimbulkan kebimbangan serius, oleh sebab ianya kini hanya tinggal dengan Zainah Anwar setelah pengguguran Mehrun sebagai pengerusi. Bolehkah kerajaan menaruh kepercayaan pada Zainah untuk mengambil alih jawatan pengerusi kumpulan kerja yang penting ini, yang telah mengumumkan rancangan menyeluruh untuk mengkaji semula undang-undang menindas di dalam negara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti dan Akta Polis?

Abu Talib perlu mengumumkan semua keahlian baru dalam kumpulan-kumpulan kerja Suhakam dan mengemukakannya kepada pertimbangan awam.


Top             Home

Sumber :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com