KUANTAN, 30 April (Hrkh)- PAS kesal dengan tindakan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub yang cuba mengheret nama Sultan dalam isu pembalakan di Pahang.

Tindakan Adnan itu disifatkan tidak wajar sama sekali dan ia dilihat sebagai satu usaha untuk melepaskan diri dengan membabitkan orang lain bagi menutup kelemahan pentadbirannya.

Adnan didesak Adun Kuala Pahang, Mohd Iqbal Hamdy Rosdi yang mahukan penjelasan berhubung harga premium RM100 sehektar yang diluluskan kepada sebuah syarikat pembalakan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Menurut Mohd Iqbal, harga tersebut terlalu rendah, malah beliau berani membayar RM1000 sehektar bagi kawasan tersebut jika diluluskannya, manakala Adun Tahan, Abdul Malik Yusuf pula sanggup membayar RM1500 sehektar jika kawasan tersebut diluluskan kepadanya.

Adnan dalam jawapannya mendakwa, "Itu hak habuan tubuh Kebawah Duli yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Kalau Kuala Pahang bernama Tengku Iqbal, putera angkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, sila pergi mengadaplah".

Ketua Penerangan PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas jawapan Adnan itu menyifatkannya sebagai tidak wajar.

"Pihak istana tidak sepatutnya diheret dalam menangani kelemahan pentadbiran kerajaan kerana ia mencemarkan imej institusi itu sendiri.

"Premium RM100 tiada kena mengena dengan Tuanku kerana ia adalah bidang kuasa kerajaan," katanya.

Sementara itu, mengikut carian di pejabat Pendaftar Syarikat menunjukkan syarikat yang mendapat keistemewaan kerajaan Pahang itu (membayar premium pembalakan RM100 sehektar) bukanlah milik baginda Sultan malah nama baginda bukanlah pemegang saham dalam syarikat itu.

Mohd Iqbal sebelum itu dalam ucapannya telah mencabar pihak kerajaan supaya meluluskan satu kawasan balak kepadanya dengan syarat dan keluasan yang sama (dengan kawasan yang premiumnya hanya dikenakan RM100) dan dia sanggup membayar premium setinggi RM1,000.00 seekar.

Sementara itu, Adun Tahan, Abdul Malik Yusuf turut mendedahkan terdapat banyak penyelewengan dalam pengagihan kawasan balak di Pahang termasuk satu Bahagian Umno di negeri ini memohon kawasan balak bagi mengisi tabung parti.

Adnan yang terdesak menjawab, bahawa kerajaan negeri tidak lagi meluluskan kawasan balak kepada individu.

 


Top            Home

Sumber :
HarakahDaily
http://www.harakahdaily.net