KOTA
BHARU, 30 Apr (Hrkh) -
Pemimpin masyarakat Cina di sini berpendapat MCA sedang menuju ke arah
kehancuran kerana menerima pelan damai yang dicadangkan Dato' Seri Dr Mahathir
Mohamad.
Mereka memberitahu pelan damai Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu adalah
permulaan kuasa diktator yang menguasai Umno, berjangkit kepada MCA.
Seorang pemimpin masyarakat Cina, Hu Pang Chaw berkata, pelan damai yang menghalang pemilihan diadakan, adalah di luar perlembagaan parti.
"Sedangkan keputusan seperti itu perlu dibuat melalui suara majoriti di kalangan ahli parti dan bukan menerima pandangan mereka yang berada di MCA.
"MCA mempunyai perlembagaan parti yang mampu menyelesaikan setiap kemelut yang berlaku.
"Oleh itu, ramai pemimpin masyarakat Cina di sini berpendapat pelan damai itu sebenarnya merosakkan MCA sendiri, kerana usaha dilakukan Presiden Umno adalah untuk mengekalkan kepemimpinan MCA yang ada sekarang," katanya di sini.
Baru-baru ini, Dr Mahathir dilaporkan mencadangkan pelan damai supaya pertandingan dalam pemilihan MCA tidak diadakan pada mesyuarat agung parti itu tahun ini.
Ini bermakna kepemimpinan MCA yang ada sekarang akan kekal sehingga 2005.
Pang Chaw berkata, pemimpin MCA sanggup membiarkan parti mereka dinodai Dr Mahathir sehingga membelakangkan demokrasi dalam parti.
Katanya, pelan damai seperti itu sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah dalaman MCA, sebaliknya perbalahan dibiarkan bertambah kronik dalam tempoh begitu lama.
"Tempoh sehingga tahun 2005 akan menyebabkan pergolakkan dalaman MCA bertambah parah.
"Ini kerana setiap ahli parti telah dinafikan hak mereka untuk memilih mengikut perlembagaan parti," katanya.
Menurutnya, Presiden MCA, Dato' Seri Dr Lim Liong Sik akan bertambah selesa untuk berdepan dengan lawan dari kumpulan B kerana diberi kuasa baru dengan bantuan Dr Mahathir.
Katanya, pelan damai itu secara tidak langsung dilihat bertujuan meleyapkan sama sekali kumpulan B yang diketuai Dato' Lim Ah Lek.
Beliau berkata, sesiapa sahaja dapat membuat telahan berdasarkan kepada pelan damai Dr Mahathir yang bertujuan menghalang kumpulan yang tidak senang dengan Presiden MCA.
Sehubungan itu, beliau tidak yakin pergolakkan dalaman MCA boleh reda kerana ia jelas hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.
"Saya percaya kumpulan Ah Lek tidak akan berdiam diri kerana mereka sekarang sudah dihalang secara rasmi dengan direstui Perdana Menteri sendiri.
"Sedangkan semua orang tahu idea seperti itu adalah bercanggah sama sekali dengan perlembagaan MCA. Sekiranya perkara ini dibiarkan, adalah dipercayai MCA akan punah dan rosak," katanya.
Kumpulan A yang diketuai Liong Sik difahamkan mendapat sokongan ahli-ahli MCA di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Manakala kumpulan Ah Lek disokong MCA di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Pang Chaw juga berkata, sekiranya pemilihan diadakan pada mesyuarat Agung parti itu tahun ini, beliau percaya Liong Sik masih mendapat tempat memandangkan sokongan daripada pantai barat lebih menyebelahinya.
Katanya, tanpa bantuan Dr Mahathir adalah dipercayai Liong Sik boleh mempertahankan kedudukannya dengan mudah.
"Namun hairannya mengapa pertandingan masih lagi dihalang. Ini mungkin ada udang di sebalik batu dengan lahirnya pelan damai tersebut.
"Mungkinkah ada usaha-usaha untuk menjadikan situasi yang sudah membarah dalam Umno menjangkiti MCA.
"Sebelum ini, Presiden Umno menghalang dengan apa cara sekalipun percubaan untuk mengugatkan kedudukannya selepas berlaku pertandingan dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden Umno pada 1980-an," katanya.
Menurutnya, senario untuk mengekalkan status quo dalam Umno dapat dilihat apabila jawatan Timbalan Presiden Umno sudah beberapa kali bertukar tangan, sedangkan jawatan Presiden masih orang yang sama.
Beliau berkata, virus yang berlaku dalam Umno itu seolah-olah dibiarkan pemimpin MCA menjangkiti parti tersebut sekarang.
Katanya, Liong Sik juga dilihat sedang berusaha mengekalkan kedudukan sebagai Presiden MCA paling lama, bagi menyamai kehebatan Dr Mahathir, sebagai rakan karibnya dalam BN.
Sumber :
HarakahDaily
http://www.harakahdaily.net