Usaha Terancang Menutup Kebebasan Rakyat....
Oleh Ibn Sabah


Awas Usaha Kongkong Kebebasan Rakyat Akan Lebih Keras?

Pindaa Akta Pilihanraya di Parlimen baru-baru ini adalah sebahagian dari usaha parti pemerintah yang didominasi sejak sekian lama oleh UMNO/BN untuk mengongkong, menjumudkan dan memasungkan kebebasan rakyat untuk bersuara bagi menyubur-hidupkan amalan demokrasi dan mengamal demokrasi secara bebas yang menurut undang-undang dan Perlembagaan Negara ini. Rakyat marhaen yang berada nun jauh dipelusuk ulu dan pedalaman pasti tidak mengerti segala macam akta digubal satu demi satu, semua bunyinya serupa dan sama saja untuk menjaga kebebasan, jaga keamanan, jaga keselamatan, jaga ketenteraman awam, jaga rakyat dan untuk keselamatan negara.

YB UMNO/BN YB Rubber-Stamp

Yang tersirat dari segala macam akta yang digubal dan tergubal yang sudahpun dimakbulkan oleh Parlimen yang dipenuhi 2/3 dari ahli-ahli UMNO/BN yang berstatus rubber stamp alias kaki ampu, kaki bodek dan penjilat penguasa. Tidak mungkin, pasti rakyat marhaen tidak faham. Malah tidakpun pernah melihat, membaca apa jua akta yang digubal dan dibahas di dalam Parlimen itu. Melainkan laporan-laporan media pengampu. Sudahlah ahli Parlimen UMNO/BN hidup mati mereka dengan mengampu dalam Parlimen, berita yang keluar dari mulut-mulut mereka juga berbunyi ampu bodek ke atas dua tiga individu yang punya kuasa borong yang dikepalai oleh P***M**. Kemudian disambut belum sempat jatuh ke bumi...oleh wartawan kaki ampu alias bodek yang sudah hilang intelektual mereka sebagai wartawan rakyat.

Sudah 20 tahun rakyat berPieMkan seorang makhluk bernama diktator tua yang tak pernah sedar diri, yang masih mahu menganggap dialah konon PM yang terbaik, berjasa dan ternama sampai bergelar wira dunia ketiga...keempat... bergelar atau digelari pemimpin Islam dan sudah bermacam-macam gelaran diletakkan ke atasnya, sehingga dia lupa keburukan, kezaliman, kelemahan dan kekurangan yang bersusun dalam dirinya selama ini.

Akta Menjaga Orang Kaya, Membunuh Nasib Si Miskin

Pengubalan Akta Pilihanraya yang menaikkan harga deposit sehingga ke peringkat RM20 ribu adalah satu bukti usaha parti pemerintah UMNO/BN menyekat amalan demokrasi dikalangan rakyat majmuk Malaysia secara terancang dan penuh muslihat jahat...bagi rakyat miskin atau parti-parti miskin adalah satu yang agak berat untuk menyediakan perbelanjaan setinggi itu untuk kerusi DUN dan Parlimen secara sekaligus. Bagi UMNO/BN dalam keadaan kebanyakan YB-YB, menteri-menteri, exco-exco dan ketua-ketua bahagian UMNO/BN yang sudah kaya raya, jutawan dan bergelar korporat. Soal kaya raya atau gelaran jutawan segera yang mereka ada sama ada dengan rasuah, mengampu atau membodek itu lain kesnya. Yang penting semua mereka itu ada wang untuk belanja deposit bagi pilihanraya dan boleh menang. Haram atau halal wang itu tidak diambil kisah oleh UMNO/BN lagi. Sebab hidup mereka sudah bergelumangan dengan segala macam kekotoran rasuah, harta haram, harta hasil mengampu dan membodek orang besar.

Akta-akta lain seperti Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis, ISA dan lain-lain seolah-olahnya lebih besar dan lebih atas dari Perlembagaan Negara. Penguatkuasaan akta polis benar-benar mencabar hak kebebasan bersuara rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Anda boleh bayangkan berkumpul, mengkritik parti pemerintah UMNO/BN, kritik PM, TPM dan pemimpin-pemimpin emas dan besar UMNO/BN boleh kena tangkap, diburu, diganggu, disembur dengan gas, diISAkan dan digeledah rumah dan sebagainya oleh polis-polis barua UMNO/BN.

Apakah akan terjadi diakhirnya, suatu masa nanti sistem demokrasi di Malaysia hanya tinggal sejarah. Tidak mustahil ia sekadar bahan arkib yang  dimuziumkan untuk tontonan rakyat marhaen yang lambat sedar. Kerana kita asyik lagi alpa dengan hayunan buaian kebendaan dan keseronokan yang dialunbuaikan oleh UMNO/BN. Harta, kebendaan, RM dan rasuah adalah umpan berbisa lagi mujarab UMNO/BN untuk melumpuhkan terus daya fikir dan jiwa rakyat, khususnya rakyat marhaen di kampung-kampung. Apa lagi mereka yang berada di pedalaman yang hanya mendengar dan menonton radio atau TV yang membudayakan jiwa mengampu dikalangan rakyat. Budaya menyumbat hati, akal dan jiwa rakyat dengan kefahaman ampu bodek, jilat-menjilat, sogok-menyogok dan lebih teruk budaya memati dan menjumudkan pemikiran rakyat. Rakyat ditegah mendengar cakap-cakap pemimpin pembangkang. Rakyat disogok dengan cara berfikir yang mati dan tidak langsung boleh kritik kesalahan pemimpin UMNO/BN. Rakyat dilarang supaya tidak persoalkan apa jua tindak-tanduk pemimpin besar UMNO/BN. Rakyat diasuh dan diasak dengan pemikiran kebendaan melulu, jika lawan TIDAK ADA PROJEK, TIDAK ADA RM50, TIDAK ADA JALAN, TIDAK ADA BALAI RAYA dan bermacam jenis ugutan yang menakut-nakutkan rakyat. Rakyat jenis penakut, takut kelaparan dan takut tiada apa di kampung mereka. Terus angguk juga sekalipun sudah berkali-kali ditipu oleh pemimpin UMNO/BN.

Budaya BCA Yang Tersasar

Sampai bila kita terus diperbodohkan sedemikian, selagi UMNO/BN berkuasa dalam negara ini selama itulah rakyat akan jadi bodoh, jumud, mati akal dan hanya mengiyakan apa jua yang dibuat oleh para pemimpin UMNO/BN, hatta yang salah MB Selangor mengamal rasuah, tak apa sebab dia MB, Pak Lah berniaga melalui syarikat anaknya, tak apa kerana dia TPM, Mahathir menghimpun kekayaan melalui anak-anak, ipar duai dan kroni-kroni merompak harta kekayaan negara dan rakyat secara cukup licik lagi terancang TAK APA kan dia itu seorang PM...dia ada hak, Anuar Musa salah guna kuasa semasa menjadi menteri dulu mengelapkan wang PPRT berpuluh juta tak apa kan dia seorang menteri kesayangan Mahathir dan kaki ampu. Rafidah Aziz bagi saham kat anak menantu dia, juga jangan bising sebab dia menteri UMNO/BN. Inilah amalan dan budaya politik BCA cara UMNO/BN mentadbir negara ini. Budaya BCA yang pernah disebut oleh Sdra Roslan Kassim dulu dalam menyanggah salahguna kuasa dikalangan pimpinan UMNO/BN selama ini. B-bersih, mereka sapu bersih segala kekayaan negara dan harta benda rakyat. C-cekap, cekap mengatur segala tindak-tanduk mengumpul kekayaan diri, anak bini dan kroni sampai tidak diketahui rakyat dan A-amanah, sama-sama tahu, jangan sampai amanah itu terpecah diluar kalangan mereka.

Rakyat Mesti Bersama Merubah

Jangan tunggu bila 'nasi sudah menjadi bubur' ketika itu tidak ada gunanya lagi. Sebelum keadaan politik dan pemerintahan UMNO/BN lebih dahsyat lagi. Dari sekarang seluruh rakyat Malaysia yang majmuk ini mesti bertekad menumbangkan dan melumpuhkan terus kuasa politik UMNO/BN. Pengalaman politik dan pemerintahan BA/PAS/KeADILan/PRM di dua buah negeri Kelantan dan Terengganu adalah suatu yang sangat manis dan indah bagi rakyat majmuk di kedua-dua negeri. Sikap telus, adil, terbuka dan profesional kepimpinan Datuk Nik Aziz di Kelantan dan Datuk Seri Haji Abdul Hadi di Terengganu merupakan wajah-wajah dan gambaran kerajaan rakyat.

Kita berdoa dan mengharapkan bahawa kedua-dua negeri itu akan dipertahankan dan insya-Allah akan muncul lagi beberapa buah kerajaan negeri yang akan dikuasai oleh BA/PAS/KeADILan/PRM dan juga DAP. Seterusnya mampu membentuk kerajaan pusat di Kuala Lumpur. Ini sahajalah penawar terbaik kepada segala macam kemungkaran politik UMNO/BN yang berkuasa sebegitu lama di bumi Malaysia.

Sama-sama kita berjuang membina kekuatan rakyat dari Perlis hingga ke Sabah
untuk sebuah politik dan kuasa yang adil, saksama dalam sebuah kerajaan yang baik demokratik dan adil

Ibn Sabah,
30.4.2002M.


Top            Home

Sumber :
Laman Marhaen
https://members.tripod.com/e-umno/