Pindaan Akta Parlimen: Usaha lumpuhkan PAS

 

TASEK GELUGOR, 29 April (Hrkh): Setiausaha Agung PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Mat Isa menyifatkan, pindaan Akta Parlimen bertujuan melumpuhkan PAS dalam jangka masa panjang.

Ketika ditanya reaksi PAS berhubung pindaan akta tersebut beliau berkata, walaupun ianya adalah halang besar namun jentera PAS harus berhadapan dengan tabah bagi mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang. "Usaha menyulitkan PAS kini terserlah dengan pindaan terbaru akta parlimen dengan harapan PAS akan berkubur selepas piliharaya umum nanti.

Sebagai jentera parti pembangkang yang bergerak bersama Barisan Alternatif (BA) apa yang perlu dilakukan ialah jatuhkan kerajaan yang ada untuk selamatkan rakyat, " tegasnya lantang.

BN sengaja menaikan deposit calun piliharaya dun dan parlimen ke angka yang tidak lojik, peti undi terjamin, tempat mengundi yang boleh diubah, semakan buku daftar terakhir kekal dan seumpamanya.

Bagi menghalang gejala yang tidak sihat ini tambah beliau, tidak lain hanya dengan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

"Walaupun kita terpaksa melalui pindaan akta itu kali ini tetapi pastikan ianya tidak lagi pada pilihanraya umum selanjutnya. Jika tidak BN akan merancangkan beberapa cara lain untuk menghancurkan pakatan BA, " ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Yan, Kedah menjelaskan, jika satu kawasan parlimen ada tiga dun bermakna wang yang mesti disediakan hampir RM80 ribu.

Namun begitu, PAS tidak takut pada kenaikan tersebut kerana yakin akan memenangi pilihanraya akan datang memandangkan sokongan yang padu dari semua kaum.

"Yakinlah ada yang orang akan menyumbangkan wang itu untuk melihat kemenangan BA. Oleh itu, semua Majlis Tindakan Dun (MTD) harus bergerak dan mengenal pasti mana-mana kelemahan sebelum menyertai pilihanraya yang paling tinggi deposit dalam dunia, " kata beliau.



Top            Home

Sumber :
Harakahdaily.com
http://www.harakahdaily.net