Saya sedia berceramah bersama-sama Azalina - Lo' Lo'

 

Saidah Hairan

KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menyahut cabaran Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina Othman untuk bersama-sama berceramah dalam menangani isu sumbang mahram yang semakin kritikal.

"Saya bersedia untuk berceramah dengan Azalina dalam isu menangani sumbang mahram tetapi dengan syarat, Azalina mesti mendapatkan permit daripada pihak berkuasa untuk memudahkan saya berceramah," katanya. Menurut beliau, usahkan berceramah di markas PAS Taman Melewar, malah beliau sanggup menjelajah seluruh negara untuk berceramah seperti di padang sekolah, stadium atau di dewan berhawa dingin seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.

"Baru standard dan berbaloi, maklumlah dapat jemputan daripada ahli Majlis Tertinggi Umno. Saya bukan saja akan berceramah isu sumbang mahram tetapi akan menyentuh isu rasuah, menuduh zina, makan duit rakyat miskin, menggelapkan duit Tabung Haji, rompak duit royalti dan sebagainya," tegas beliau.

Menurut Dr Lo' Lo' yang juga merupakan Ketua Pengarah Amal Nisa' Pusat, beliau sentiasa menanti-nanti tindakan susulan rakan sejawatnya itu (Azalina).

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah umum semalam Ahad 28 April yang diadakan untuk memberi penjelasan isu takfir dan sumbang mahram serta mengulas cadangan Azalina yang akan menyerahkan risalah kepada Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dan parti KeADILan supaya bersama- sama menangani isu sumbang mahram.

Ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat turut menjemput Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Abu Bakar Chik dan Aktivis Sosialis, Ann Wan Seng, yang diadakan di Markas PAS Tarbiah, Taman Melewar, 25 April, lalu.

Sementara itu Dr Lo' Lo' kesal dengan sikap Menteri Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga, Dato' Shahrizat Abdul Jalil yang tidak menjalankan tugas dengan adil kerana membiarkan seorang wanita yang mempunyai empat orang anak ditahan di bawah ISA tanpa dibicarakan di mahkamah terlebih dahulu.

Beliau berkata, jika masalah yang kecil tidak boleh diselesaikan bagaimana hendak menaikkan martabat golongan wanita di Malaysia.

"Hari Ibu akan menjelang, sudah pasti Shahrizat sibuk menyediakan tema dan slogan basi yang akan dilaungkan keserata ceruk bumi Malaysia dengan kata-kata yang palsu untuk memartabat dan memperkasakan ibu-ibu," ujar beliau.

Beliau kesal dengan sikap Shahrizat yang tidak membela nasib anak- anak dan isteri-isteri yang kehilangan suami kerana ditahan di bawah ISA atas dakwaan ahli Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang tidak dibicarakan terlebih dahulu.



Top            Home

Sumber :
Harakahdaily.com
http://www.harakahdaily.net