LAWATAN KE LIBYA MENGERDILKAN MAHATHIR

 

Seminggu lalu Mahathir telah melakukan lawatan ke beberapa negara Arab dan juga Libya dalam lawatan kerjanya yang terbaru sebelum berlepas pula ke Rumah Putih bagi menemui Tuannya GW Bush pada 13 Mei depan. Lawatan itu dikatakan sebagai program yang telah lama dirancangkan tetapi telah tertunggak oleh beberapa sebab.

Dalam suatu mesyuarat Menteri Luar OIC di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu, Mahathir telah menjadi barua dalam meluahkan buah fikiran Presiden Amerika dan juga Ariel Sharon apabila tergamak melabelkan ‘pengebom relamati’ Palestin sebagai pengganas. Tanpa rasa bermaruah Mahathir cuba memutarminda pemimpin Islam negara-negara Arab dengan alasan dan ide yang berbaur Zionis. Ia akhirnya mengundang kemarahan rakyat Arab dengan membahaskan pandangan Zionis Mahathir itu di akhbar negara mereka selama beberapa hari.Malangnya akhbar tempatan tidak menyiarkan ulasan akhbar terbabit.

Dalam majlis tersebut seorang peserta negara Arab telah menempelak pandangan songsang yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar Wira Dunia ketiga. Akan tetapi itulah tahap pemikiran dan apa yang bersarang dalam jiwa Mahathir selama ini.Ianya juga adalah selari dengan kebimbangan pemimpin Pas yang sering mempertikaikan corak pemikiran Islam Mahathir yang suatu ketika mengumumkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Bagaimana boleh Mahathir hendak menjaguhi Islam dan prinsip Agama itu sedang dia sendiri bersifat pagar yang merosakkan padi.

Mahathir adalah seorang Perdana Menteri Malaysia yang sangat celupar dan jelabas mulutnya dengan segala nilai Islam sebenar yang kelihatan bercanggah dengan pendapat dan pemerintahannya. Beliau menghalalkan Rasuah dan melindungi pelakunya. Mahathir menyimpan ramai pemimpin Umno yang buruk salah laku mereka dan mempunyai rekod jenayah. Kelompok bermasalah ini akhirnya akan pula turun ke gelanggang sebagai BARUAnya apabila keadaan memerlukan.

Lawatan Mahathir ke Libya

Jamarhiyah Libya adalah sebuah negara Utara Afrika yang bersempadankan Mesir, Sudan,Chad,Niger dan Algeria. Negara tersebut kaya dengan bahan sejarah samada Tamadun Islam mahupun Rome dan Byzantium. Mempunyai kawasan subur hanya sebanyak 5 persen dari keluasan sebenar dengan bahagian Selatan yang terdiri dari padang pasir yang amat luas.Kebanyakan penduduk seramai 4 juta orang itu bertumpu di kawasan pesisir laut di Utara dengan bandar-bandar besar seprti Tripoli dan Benghazi.

Pentadbiran Muammar Ghadafi telah menyedari masalah pengairan yang meruncing apabila kawasan takungan air di kawasan Utara telah terlebih sedut dengan airlaut pula menyusup masuk. Dengan menggunakan wang negara hasil minyak, Kolonel Muammar telah melancarkan program saliran yang terbesar dengan perbelanjaan US$ 25 Billion sehingga digelar Keajaiban Kelapan di dunia. Kerajaan Libya memulakan projek Mega itu dengan syarikat kontrek dari Korea dengan menggunakan Teknologi terkini.

Projek berteraskan kebajikan rakyat ini digelar Sungai Terhebat Buatan Manusia yang menggunakan potensi air bawah tanah di bahagian Selatan sebagai sumber. Ia membabitkan pembinaan saluran paip selebar 12 kaki diameter sepanjang 4000 Km dengan saliran terbuka pula sejauh 1000 Km. Keseluruhan saliran itu akan mengairi kawasan Utara yang merupakan 80 persen dari jumlah kawasan pertanian negara. Dengannya juga kawasan baru pertanian akan dibuka bagi meningkatkan hasil pertanian.

Kerajaan Libya juga mengundang rakyat Mesir untuk bertani di negaranya itu. Projek Libya ini secara tidak langsung telah menempelak projek pengairan Mesir selama 20 tahun yang telah disabotaj berulangkali oleh Bank Dunia dan IMF serta instrumen kewangan di belakangnya.Libya juga menempelak Amerika yang menuduh ia sebagai sebuah negara pengganas dengan menghadiahkan projek itu kepada Dunia Ketiga sebagai penguat hujahnya bahawa Libya adalah sebuah negara yang cintakan perdamaian dan menggunakan segala kemampuannya untuk memajukan negaranya yang serba kekurangan itu.

Pernah suatu ketika pentadbiran Amerika pernah mengancam untuk mengebom Nuklear kawasan pembinaan berbukit yang menempatkan stesen pam sistem saliran itu!!(Kununnya mengesyakki sebagai kilang senjata biokimia.Bagaimana pula tentang senjata nuclear yang ia bekalkan kepada Israel yang ternyata sebuah Negara pengganas dengan membantai rakyat Palestin?! Itupun Mahathir nak pergi merafak sembah berjumpa Bush!? Apanamaa….nak berbincang tentang krisis Palestin-Israel)

Para pegawai Libya mengatakan sejumlah besar hasil air itu akan digunakan bagi faedah ladang-ladang yang sedia ada dan juga bagi membuka ladang baru dari kawasan padang pasir dengan kaedah teknologi terkini.

Kolonel Muammar Ghadaffi telah mengatakan kepada ratusan hadirin di Benghazi pada tahun 1991, “Libya telah menyempurnakan projek ini dalam suasana serba payah, ia menyempurnakan kerja-kerja itu ketika negaranya dikenakan sekatan ekonomi oleh Negara Imperial (Amerika Syarikat) yang anti kemajuan dan anti rakyat Libya.Kerja-kerja ini diselesaikan tanpa bantuan dari mana-mana negara Maju dan juga bantuan Pinjaman Bank Dunia”.Seterusnya beliau menambah, “Selepas pencapaian ini ancaman Amerika pasti akan berlipatganda……Amerika akan mencipta helah (tetapi) alasan sebenarnya adalah untuk menghentikan pencapaian negara Libya, untuk terus menindas rakyat Libya”

Begitulah serba ringkas bagaimana pentadbiran Kolonel Muammar Ghadaffi yang telah menubuhkan Revolusi Hijau 22 tahun yang lalu membelanjakan sebahagian besar pendapatan negaranya yang berasaskan minyak demi kemakmuran rakyatnya.Yang menariknya tempoh itu hampir sama dengan tempoh bersemayam Raja Kelentong di Negara kita. Menarik juga untuk diperhatikan bagaimana secara kebetulan Negara kita juga mempunyai pendapatan yang banyak dan mewah dari hasil minyak yang dimonopoli oleh Petronas sebagai syarikat kerajaan dalam mengusahakan carigali emas hitam itu.

Bagaimana pula Mahathir di Malaysia?

Apakah yang telah Mahathir peruntukkan demi kebajikan rakyat dalam ertikata yang sebenarnya di Malaysia berbanding dengan Kolonel Ghadaffi?Ini adalah soalan yang menarik untuk direnungi.Usah kita berpolemik soal parti yang telah pun dicemari Mahathir sehinggakan dimomoknya Ulamak dengan pengkelasan otak masamnya-Ulamak Politik!!Jika begitu bagaimana pula Ulamak Barua belaan dalam parti UMno? Begitu juga tentang Nabi yang juga seorang Ketua Negara di samping seorang Agamawan.Apa komen Mahathir agaknya??....

Ghadaffi tidak pun peruntukkan sejumlah wang yang besar untuk projek kediaman Pemimpinnya sepertimana Mahathir dengan Putrajaya.Beliau hanya menghabiskan kebanyakan masanya di dalam khemah Badwi yang sering berubah-ubah kedudukannya tanpa pola yang tetap.Ini difahami sebagai strateginya bagi mengelakkan kejadian haprak pengeboman secara haram oleh tentera Amerika dahulu.Namun sebelum kejadian itupun kerajaan Ghadaffi tidak pernah membelanjakan wang dalam projek mega sebagaimana Mahathir bapa Mirzan ini.

Sebaliknya Mahathir bersubahat dengan kelompok musibat dalam ‘think-tank’ untuk mengadakan berbagai projek mega bertaraf gajah putih yang jelas terang-terangan membelakangkan kepentingan rakyat.Ada juga projek membazir yang saling bertindih fungsinya seperti Menara KL dan Menara H Petronas. Manakala KLIA pula dilihat lebih kepada memperkayakan beberapa kerat manusia (tentu ada saham untuk dirinya!?) dalam pengambilan tanah projek berbanding keperluannya. Sepatutnya Lapanganterbang Subang hanya memerlukan penambahan landasan dan pembesaran kawasan menunggu. Ini dengan mudah boleh dibuat dengan mengambil kawasan sekitaran dan lebih menjimatkan kos.

Lihat pula pembinaan Litar F1 Sepang yang jelas membazir dan menyeret berbagai Syarikat milik kerajaan sebagai penanggung ‘biawak’ ini.Setelah MAB yang tenat, kini dikhabarkan Petronas pula menanggung dengan memiliki Litar itu. Ini antara kaedah mudah pentadbiran Mahathir dalam menyelesaikan masalah- korek lubang tutup lubang!!

Beberapa urusniaga saham termasuklah penglibatan Danaharta, hampir kesemuanya adalah kerja gila Mahathir bagi melindungi kecacatan pentadbiran dan juga ketenatan kewangan Negara.Selama manakah lagi Mahathir mampu menutup bangkai gajah dengan silapmata bersifat sehelai daun itu??

Seandainya Mahathir mempunyai jiwa yang besar dan mencontohi pemimpin bertaraf Ulamak seperti Umar Abdul Aziz, tentulah keutamaan rakyat miskin dan keperluan asas marhaen dititikberatkan.Tiada yang lebih penting sepertimana keperluan air dalam Negara.Kenapakah masalah air dalam Negara tidak pernah putus-putus dan sering menjadi isu politik kerajaan Mahathir dalam menghentam kerajaan PAS di Kelantan??Anihnya kini bukannya Kelantan sahaja yang menderita rakyatnya dengan masalah air, melainkan negeri di bawah Umno seperti Negeri Sembilan dan juga Melaka.Kenapa rakyat Malaysia lebih menderita dengan masalah air sedangkan Singapura lebih selesa walaupun bekalan utamanya dari Johor? Dimanakah silapnya?

Bayangkan sekiranya Mahathir mendahului Libya dalam soal pembekalan air ini dengan merangka suatu sistem yang efektif dan mesra alam sifatnya. Tentu sahaja belanja ynag diperlukan sedikit berbanding dengan jumlah yang Libya belanjakan kerana air di permukaan kita cukup banyak dan bersih untuk kegunaan.

Apakah perasaan Mahathir apabila dibawa Ghadaffi melawat porojek kebajikan untuk rakyatnya yang digelar keajaiban kelapan Dunia itu? Bukankah selain dari berdaya menarik pelancong, projek sebegitu juga menyumbang kepada ekonomi secara peningkatan hasil makanan melalui pertanian??

Tidakkah Mahathir merasa malu dan kerdil apabila membandingkan kejayaan projek Mega untuk memperkayakan rakyat Libya itu dengan projek memperkayakan kroninya seperti Bakun,Menara Petronas,Putrajaya dan KLIA itu? Tergamak mahathir meneruskan projek ‘jambatan Isfahan’ di Putrajaya yang menelan Jutaan ringgit di bawah seliaan anaknya itu?

Yang lebih hebatnya Ghadaffi ialah kemampuan ia menjalankan projek Mega itu dalam keadaan disekat ekonomi dan tanpa bantuan kewangan dari luar.Sedang Mahathir dalam keadaan yang bebas dan kekayaan yang melimpah sempat pula berhutang bukannya untuk kepentingan rakyat Marhaen melainkan lebih kepada mengisi tembolok sekerat dua manusia yang rapat dengannya.

Alangkah kerdilnya Perdana Menteri Malaysia, Mahathir jika dibandingkan dengan Kolonel Ghadaffi!

Dr Nologareng


Top            Home

Sumber :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com