Lutfi tidak perlu buang masa cari bahan bukti lagi
|
Oleh BEKAS PENYOKONG RAIS YATIM
Saya mengambil masa agak panjang untuk menganalisis surat Ahmad Lutfi Othman kepada Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Surat ini ditulis dalam pendekatan yang cukup menarik dan berjaya menghuraikan kes rasuah Menteri Besar Selangor dengan jelas dan meyakinkan. Bagaimanapun, bagi saya, Lutfi seperti terlalu mengharap kepada pucuk pimpinan BN untuk mengambil segala tindakan perlu untuk membanteras rasuah di negara ini, sedangkan umum mengetahui realiti sebenarnya. Lutfi tidak perlu bersusah-payah mencari lagi banyak bahan bukti dalam kes rasuah Khir Toyo. Saya simpati kepadanya kerana bertungkus-lumus sejak bulan September 2001 bagi mendapatkan keterangan untuk membantu BPR membuat siasatan. Segala maklumar yang dianggap sulit dapat dibongkarnya, satu demi satu, dan sehingga kini nampak seperti ia belum tamat lagi. Yang terbaru, yang saya perhatikan melalui laman-laman internet ialah kes penswastaan kutipan tunggakan sewa rumah kos rendah yang diserahkan kepada Naib Ketua Umno Tanjong Karang, Jamian Mohamad, yang juga mendapat konsesi besar dengan Jabatan Bekalan Air Selangor. Ini belum termasuk kes tawaran murah Khir Toyo semasa mempengerusikan mesyuarat Exco pada bulan September 2001 kepada dirinya sendiri berkaitan kereta rasmi kerajaan negeri. Kereta yang bernilai dengan harga pasaran lebih RM350,000 ditawarkan Khir kepada dirinya sendiri dengan harga RM35,000 tanpa melalui peraturan yang sepatutnya. Saya tidaklah bermaksud untuk menghuraikan kembali kes-kes rasuah Khir Toyo, tetapi sekadar mengingatkan bahawa Lutfi tidak perlu membuang masa lagi membongkar satu demi satu amalan rasuah MB Selangor itu. Cukuplah dengan apa yang ada, dan BPR sendiri mengakui, berdasarkan laporan Lutfi selama ini, kalau Dr Mahathir Mohamad mahu melihat Khir didakwa di mahkamah, pihak Jabatan Peguam Negara sudah boleh berbuat demikian. Ini kerana ada asas kukuh untuk membuat pertuduhan rasuah kepada Khir Toyo. Tapi, isunya sekarang bukan kita kekurangan bukti untuk mendakwa Khir. Bahannya sudah cukup, malah lebih dari mencukupi. Isunya, Mahathir sudah pasti tidak akan mengheret ayam tambatannya ke mahkamah. PM akan mempertahankan Khir sedaya mungkin. Akhbar-akhbar di bawah kawalan BN, akan melindungi isu rasuah ini dari disebarkan kepada masyarakat umum. Daripada sibuk mencari bahan-bahan bukti lain, sehingga membantut usaha Lutfi menerbitkan akhbarnya sendiri seperti siri Memo, lebih baik ditumpukan usaha bagaimana menjadikan isu rasuah Khir Toyo ini sebagai isu politik yang bakal meranapkan BN di Selangor. Saya perhatikan, isu ini seperti diabaikan pembangkang termasuk gabungan pembangkang di Selangor. Tanpa menjadikan isu rasuah Khir sebagai isu utama dalam pentas-pentas ceramah pembangkang, saya kira ia akan mudah dilupakan dan Khir kembali tenang untuk terus menjalankan operasi “sapu bersihnya” bersama Karim Mansor, Selamat Dollah dan Munip Kasmin. Tapi tugas ini saya rasa tidak lagi perlu dibebankan kepada Lutfi. Cukuplah dengan apa yang dilakukannya selama ini bagi membongkar kes rasuah Khir Toyo. Usaha penerangan dan kempen menentang rasuah mesti digerakkan oleh satu pertubuhan yang membabitkan massa dan rakyat bawahan yang lebih ramai.
|
Sumber :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan
Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau
http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com