Isu Lesbian Azalina cetuskan "perang" internet web pro Reformasi, pro Umno dan akhbar web bebas

 

 

Kalangan pemimpin Umno setakat ini terus mengambil sikap “zip mulut” terhadap isu Azalina Othman Said dan suasana semacam perang "mendedah dan membela" meletus di antara laman-laman web pro Umno, bebas dan pembangkang.

Media arus perdana pula tidak memuatkan sebarang laporan mengenainya sejak isu peribadi Ketua Penaja Puteri Umno itu dan masalah dalaman barisan Exconya muncul di akhbar tabloid baru milik Khalid Jafri,Perdana Sari.

Laman-laman web pro Umno telah mengambil peranan membela habis-habisan Azalina serta mempersoalkan dan menghentam kalangan barisan (bekas) Exco pergerakan itu yang membocorkan masalah mereka kepada media.

Khalid Jafri juga teruk dibelasah dengan pelbagai label termasuk wartawan upahan dan tidak bermaruah.

Malah sebuah laman web itu telah mendakwa permit Kementerian Dalam Negeri (KDN) akhbar Perdana Sari adalah palsu.

Turut dipersoalkan ialah “kebijaksanaan” para wartawan yang galak melaporkan berbagai-bagai dakwaan terhadap Azalina.

Pada ketika yang sama, laman-laman web pro reformasi serta pro Pas telah menyiarkan berbagai-bagai laporan dan ulasan mengenainya.

Sementara itu beberapa orang ahli Puteri Umno yang menghubungi Agendadaily tidak begitu setuju dengan keluh kesah sesetengah mereka mengenai masalah dalaman pergerakan itu telah dinilai macam suara pembangkang.

“Apa yang nak kecoh sangat perkara-perkara macam ini sampai mereka yang hendak bersuara itu dilanyak teruk.Kalau begitu seperti kes penyelewengan wang simpanan Tabung Haji,kes Perwaja dan lain-lain kita diamkan sahaja.Jangan bercakap.Bukankah itu juga menjejaskan nama baik kerajaan.

“Semua parti adalah masalah masing-masing.Baik Umno,Pas,Keadilan,DAP.MCA baru saja sejuk.Malah Umno pernah menghadapi gelora besar apabila Tengku Razaleigh bertanding melawan Dr Mahathir pada tahun 1987 dulu.Mereka yang bersuara itu mungkin mahu perhatian dan pembelaan,jika benar ada yang tidak betul.

“Dalam Umno Bahagian dan cawangan pun kadang-kadang riuh dengan segala macam masalah.Apa istimewanya soal Puteri atau Azalina sendiri ,”kata seorang ahli Puteri yang berasal dari Perak dan tidak mahu namanya disebut.

Seorang lagi dengan nada marah berkata pandangan mereka yang dikatakan bermasalah dengan Azalina itu harus juga diambil perhatian. “Mungkin mereka tidak ada saluran nak bercakap atau rasa tidak puashati mereka tidak diambil perhatian.Siapa tahu.

“Ini belum apa-apa sudah cop mereka macam pembangkang.Tujuan mereka bukanlah nak jatuhkan parti.Mungkin ada dakwaan mereka betul.Ada kemungkinan tak betul.Dalam politik kenalah berfikiran terbuka.Kalau nak bela pun jangan sampai bersikap seolah-oleh seseorang pemimpin itu tidak boleh disentuh langsung.Putih dan suci bersih.Semua tentangnya baik-baik belaka.

“Seingat saya dalam beberapa wawancara Perdana Menteri sendiri pernah mengakui adakalanya beliau sendiri buat silap perhitungan dalam membuat keputusan dan menilai orang.Beliau juga dari semasa ke semasa dituduh macam-macam tetapi sentiasa berani tampil menjawabnya,”katanya.

Dia menambah, Puteri Umno adalah wadah generasi muda maka mereka wajar digalakkan bersuara apa yang dirasa betul dan tidak betul.

“Kalau kita ambil sikap kunci mulut nanti orang naik muak.Soal laman-laman web pembangkang nak ambil kesempatan biasalah.Kalau timbul isu dalaman parti pembangkang,kita dalam Umno pun bertindak sama.

“Bagi saya nak tengok kuat tidak sesebuah parti itu ialah yang ada daya tahan melalui ujian dan gelora.Jika semuanya membisu pun tidak semestinya itu tanda mantap ,”ujarnya.

 


Top            Home

Sumber :
Community WR : www.communityzero.com/wr
Webmaster WR : webreformis@freeanwar.com
WR Sms Mobile : sms@freeanwar.com