Pendamaian MCA nyata untuk hadapi pilihanraya umum - Hadi Awang |
Pas menyifatkan persetujuan yang dicapai oleh dua puak yang bertelagah dalam MCA mengekalkan pemimpin parti itu di semua peringkat sehingga tahun 2005 sebagai persediaan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Presiden Pas itu berkata, penerimaan formula perdamaian yang dicadangkan Perdana Menteri itu adalah terang-terang persediaan BN secara keseluruhan bagi menghadapi pilihanraya umum yang boleh diadakan bila-bila masa mengikut kehendak mereka.
"Sebenarnya pergolakan bukan sahaja berlaku dalam MCA, bahkan berlaku dalam parti-parti komponen yang lain termasuk Umno sendiri," ujarnya yang juga Menteri Besar Terengganu kelmarin.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas keputusan Jawatankuasa Pusat MCA Selasa lalu yang bersetuju sebulat suara menerima pelan damai dengan mengekalkan pemimpin di semua peringkat sehingga tahun 2005 sebagai langkah untuk menyelesaikan kemelut pertelagahan Team A dan B dalam parti itu.
Krisis kepemimpinan parti komponen kedua terbesar dalam BN itu dilihat akan memberi kesan dalam pilihanraya umum nanti sekiranya tidak wujud perdamaian antara Team A yang diketuai Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik dan timbalannya Datuk Lim Ah Lek yang mengetuai Team B.
Bagaimanapun, kata Abdul Hadi, hanya sebahagian kecil atau segelintir sahaja pergolakan yang berlaku dalam parti-parti komponen BN yang disiarkan dalam media massa sedangkan banyak perkara yang diketahui oleh penduduk setempat di peringkat negeri dan bahagian masing-masing.
Mengenai perlantikan Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan anggota barunya, beliau berharap mereka mengambil contoh daripada ahli-ahli sebelum ini.
Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang kerana tidak mengetahui latar belakang sepenuhnya pengerusi dan anggota baru Suhakam yang diumumkan Isnin lalu oleh Wisma Putra.
"Terpulanglah kepada pendirian mereka dan saya mengharapkan supaya mengambil contoh daripada ahli-ahli Suhakam yang lalu yang menunjukkan sikap terbuka dan berkecuali dalam pergolakan yang berlaku di tanah air kita," ujarnya.
Katanya, anggota Suhakam yang lalu telah memberi keputusan-keputusan yang menunjukkan keadilan tanpa mengira pihak yang melantik mereka.
"Ini satu sikap yang sangat baik, dan ini akan dikenang oleh sejarah akan datang, dan saya berharap supaya ahli-ahli baru mengambil contoh yang baik daripada mereka yang lalu," katanya.
Sumber :
Community WR : www.communityzero.com/wr
Webmaster WR : webreformis@freeanwar.com
WR Sms Mobile : sms@freeanwar.com