Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 26 April (Hrkh) -
Wanita Parti KeADILan Nasional hari ini mendakwa tuduhan sebuah akhbar tabloid, Perdana Sari, terhadap Ketua Puteri Umno, Azalina Othman disifatkan sebagai mainan politik Umno.

Ketuanya, Fuziah Salleh menegaskan, politik seumpama itu (mengaibkan seseorang) untuk menjatuhkan orang lain merupakan amalan yang ditolak oleh KeADILan.

 Tambahnya, 'menelanjangkan' hal peribadi seseorang seperti melalui media demi kepentingan pihak tertentu merupakan taktik jijik yang sememangnya menjadi amalan dalam politik Umno.

"Hanya Umno yang mampu bergelumang dengan keadaan kotor ini," katanya dalam satu sidang media di ibupejabat KeADILan, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar berkenaan bertajuk `Sabrina Kekasih Azalina' pada 21 April lalu.

Laporan tersebut mendakwa kononnya Azalina mempunyai hubungan `luar biasa' dengan wanita berkenaan.

Justeru, menurut Fuziah, pihaknya meminta Azalina tampil membela dirinya sekiranya laporan berkenaan adalah fitnah semata-mata.

"Walaupun Azalina merupakan musuh politik, tetapi serangan sebegitu bersifat terlalu peribadi.

"Wanita keADILan akan membela seseorang yang teraniaya walaupun individu tersebut merupakan musuh politik parti," katanya.

Selain itu, beliau mempersoalkan kebenaran berita tersebut yang berkemungkinan mempunyai motif politik tertentu.

Ini katanya, penerbitan akhbar tersebut mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Wanita KeADILan yang memegang prinsip norma-norma keadilan menggesa Azalina menjawab segala tuduhan yang hangat diperkatakan itu.

"Tetapi sekiranya benar berita tersebut, Azalina perlu bertaubat dan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Puteri Umno dengan serta merta," tambahnya.

Menurutnya lagi, Azalina boleh mengenakan tindakan undang-undang kepada akhbar terbabit seandainya berita yang disiarkan itu palsu.

"Wanita KeADILan mengecam akhbar yang melanggar prinsip keadilan dan kemanusiaan," ujarnya.


Top            Home

Sumber :
HarakahDaily
http://www.harakahdaily.net