JSML: Menteri Sumber Manusia disaran meletak jawatan
|
Farina Farid Menteri Sumber Manusia patut meletakkan jawatan jika dia tidak dapat menyelesaikan masalah pertikaian gaji bulanan penoreh getah. Rundingan di antara Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian (Mapa) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) mengalami jalan buntu apabila Mapa tidak mahu mengimplementasikan gaji bulanan penoreh getah. Jawatankuasa Sokongan Pekerja Ladang (JSML) merasakan Fong Chan Onn tidak bertindak serius dalam menjayakan rundingan Mapa dan NUPW. Penyelaras JSML, Mohanarani Rasiah menjelaskan hal ini. “Kita tak mahu menetapkan jumlah, jumlah sudahpun dicadangkan oleh kajian Mapa, ikut sahaja itu. Dan kerajaan harus mengarah Mapa mengikut kajiannya sendiri dan kalau kerajaan gagal membuat itu pun, baik dia letak jawatan, kalau dia tidak ada kuasa. Nampaknya, dia tidak ada kuasa, mungkin dia tidak ada kuasa atau mungkin tidak mahu berkuasa, baik sahaja dia letak jawatan.” Mapa sebelum ini telah mengupah pakar-pakar daripada Universiti Malaya untuk melakukan kajian tentang gaji bulanan ini. Kajian tersebut menjelaskan bahawa gaji bulanan penoreh patut berada dalam lingkungan RM310 hingga RM430. Selain itu, kajian juga mengesyorkan penoreh patut diberikan insentif-insentif lain. Fong sebelum ini telah memberi tempoh awal bulan Mac untuk menyelesaikan masalah ini. Walau bagaimanapun Mapa dan NUPW masih tidak mencapai kata sepakat. Dalam rundingan mereka minggu lepas, Mapa telah mengesyorkan gaji bulanan sebanyak RM276 sehingga RM300 untuk penoreh getah. Rundingan tersebut gagal apabila NUPW enggan menerima usul tersebut. Mohanarani juga mempertikaikan peranan NUPW. “JSML ada banyak hormat kepada NUPW, tetapi kami rasa amat sedih kerana mereka tidak menggunakan kuasa yang mereka ada. Ada 150 ribu pekerja ladang di Malaysia, satu jumlah yang sangat besar, dan mereka boleh balik berjumpa dengan pekerja-pekerja mereka, union workers mereka dan tanya apa yang perlu dibuat, saya rasa mereka tak buat kerja itulah. Mereka duduk di tempat mereka sendiri dan mereka fikirkan apa yang baik dan selamat. Sudah sampai masa fikirkan apa yang selamat, sebab selama ini gaji mereka selama ini sangat sedikit.” Oleh itu, katanya, kalau mereka betul-betul serius, NUPW patut menganjur mogok seluruh negara untuk menunjuk kuasa pekerja kepada majikan yang menindas mereka. Menteri Sumber Manusia dan jurucakap Mapa tidak dapat dihubungi untuk memberi komen. |
Sumber :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun,
Terengganu
http://clik.to/tranung atau
http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com