Barua: Apabila seluang menodak baung

 

MEMIKIRKAN komen setengah-setengah ahli bahasa dan seorang dua sasterawan termasuk seorang dua Menteri, Menteri Besar dan Ustaz Mohd. Nakhaei yang mulai menyerang Sasterawan Negara Prof. Emeritus Shahnon Ahmad terkini (Siaran Berita TV1 dari 20 - 28 April 2002) kerana menyokong penggunaan perkataan 'barua' oleh Nik Ab. Aziz, saya lihat ada sesuatu yang semakin tidak kena.

Tidak kena untuk menganggap bahasa itu cuma pengucapan makna yang tepat semata-mata. Bahasa ada seni, ada indah, ada rasa dan ada halus kasarnya. Bahasa adalah alat komunikasi. Bahasa adalah pelbagai ekspressi untuk menggambarkan keindahan, kelembutan, kekasaran, protes, sokongan, tentangan, pujian, kejian dan pernyataan pelbagai rasa.

Ia sebuah instrumen besar manifestasi sikap dan perasaan pelbagai gaya melalui tutur kata lisan dan tulisan.

Dalam bahasa itu ada makna, ada rasa, ada selera dan ada mesej yang ingin dihantar.

Isunya boleh berbagai.

Menyentuh tentang hantaran mesej, Al-Quran sering menghantar pesanan-pesanan lembut berupa 'al-bayyinah' peringatan dan berita gembira. Bagaimanapun, bahasa Al-Quran juga turut menghantar mesej-mesej ancaman berupa kekasaran.

Cuba perhatikan tiga pengertian ayat-ayat ini:

1. "Dan kalau kami menghendaki, sesungguhnya kami tinggikan (darjat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulur-ulurkan lidahnya (juga).

Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami.

Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir." (Surah Al-A'raaf: Ayat 176)

2. "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakandari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah).

Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al-A'raaf: Ayat 179)

3. "Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa." (Surah Al-Lahab: Ayat 1)

Apa itu binatang ternak? Apa itu anjing yang terjelir-jelir? Dan, apa sangat yang celaka mengenai Abu Lahab?

Ini semua bahasa yang dipilih sendiri oleh Allah S.W.T yang diungkap dan ditujukan kepada sesiapa juga dari hambaNya yang menepati makna derhaka.

Bahasa ini kekal sekekalnya Al-Quran. Ia berkuatkuasa dan benar hingga ke hari kiamat.

Ertinya di sini, berkasar itupun juga berbahasa dalam membahasakan orang yang kasar.

Cuma ia wajar disukat, diukur dan dihitung dari segi kejituan penggunaannya. Jika diikutkan Tuan Guru Dato' Nik Ab. Aziz, lontaran sepatah kata b**** yang berupaya menyintak perhatian nasional terkini, itupun dikira agak lembut jika diukur dengan tahap celupar perbuatan pihak atau pihak-pihak berkenaan terhadap Allah, Rasul dan Sistem Demokrasi yang konon menjadi kebanggaan. Beliau, malah masih "reserve" satu lagi perkataan yang lebih relevan untuk 'dihantar' ke gelanggang.

Mungkin masa belum mengizinkan! Biar ianya menjadi sebuah "suspense" sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

Kembali semula kepada persoalan bahasa, adalah amat tersasul jika sasterawan cuma mementingkan yang indah-indah dan hidup dalam buaian perasaan estetik semata-mata.

Atau mungkin cuma sibuk bermain di tepian isu yang kurang keutamaan. Ia tidak menjamah hati nurani rakyat yang terhimpit dan amat dahagakan pembelaan.

Jika benar sasterawan adalah milik rakyat dan seni adalah wahana indah bagi membela nilai-nilai kemanusiaan demi kerukunan masyarakat, maka satu pertanyaan di sini ialah apakah masyarakat terbanyak sedang memiliki dan menikmati keadilan atau sedang disantuni dengan baik oleh pemilik demokrasi?

Tidakkah iklim politik kini sangat memusuhi rakyat dari bercakap apa yang dimahunya dan menutur apa yang dirasainya.

Dia tidak boleh keluar dari garis kata-kata seperti yang diatur oleh bapak Menteri.

Kebebasannya telah dirampas. Dia tidak dibenarkan sama sekali untuk melihat kebenaran dari versi yang dirasainya.

Dia diharamkan langsung untuk bertemu dan meluahkan kepercayaannya walaupun dengan cara aman, untuk berdiskusi di ceramah terbuka mengenai cara lain yang berbeza pandangan untuk memulihkan demokrasi dalam negaranya sendiri.

Partisipasi aktif yang menjadi pra syarat kesuburan demokrasi hampir tiada langsung. Toh! Kalau begitu, peranan ahli bahasa dan sasterawan itu dimana? Apakah hanya cukup dengan berkreatif dan berhalusinasi lalu seenaknya menukilkan anyaman kata-kata indah yang prosaik.

Ia mungkin sarat dan berkemelut dengan diksi sedang falsafah perjuangan untuk faedah pembelaan agama dan bangsanya tetap tipis.

Ahli bahasa pula hanya terkongkong dengan kejituan makna. Memadaikah dengan begitu?

Seharusnya sasterawan dan ahli bahasalah berperanan sebagai pemancar wacana yang segar dan dinamik untuk dijadikan santapan minda masyarakat luas.

Ini sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Paul Gauguin iaitu "art is either a plagiarist or a revolutionist". Kekuatan buah fikirannya yang terkadang memuji tetapi kerapkali mengkritik sebarang ketidakadilan akan meletakkan dirinya menjadi "gate keeper" keadilan dan kemanusiaan yang amat mahal demi kepentingan masyarakatnya.

Dalam kesedaran sebegini, kemana bersembunyinya 'bapak' 'Pramoedya Anantatoer' Malaysia.

Mustahil negara kita tiada Robindranath Tagore atau Kawabata atau Sutan Takdir Alishahbana atau Chairil Anwar.

Saban tahun kita lihat munculnya sasterawan, cerpenis dan novelis tanah air yang menerima pelbagai anugerah. Mustahil mereka tidak tersentuh.

Mustahil hati nurani halus mereka kering, tandus sehingga tidak terasa terpanggilpun untuk berbicara mengenai nilai-nilai keinsanan milik rakyat yang telah dihaiwankan oleh penguasa demokrasi?

Menuduh tanpa bukti, mengheret orang ke penjara tanpa bicara malah seakan-akan berpihak dan memelihara orang yang bersalah dalam isu rasuah, penggelapan wang dan penyalahgunaan kuasa adalah diantara contoh-contoh "blatant" yang terlalu mengusik mana-mana pejuang seni yang benar-benar jujur lagi "real". Soalnya kemana mereka?

Apakah berkarya dan berkreatif dalam terowong yang kosong. Tak perlu lagikah dihitung ruang operatif dalam mencari tema dan makna kemanusiaan yang lebih besar?

Apakah tidak terkesan dalam kesedaran seni yang supra halus itu hasil kurnia dan anugerah Tuhan? Mustahil!

Mungkin ada benarnya teguran Shahnon tentang betapa bervirusnya tulang belakang 'mereka'. Mereka sedang mabuk dalam diksi-diksi indah di rimba belantara buat-buatan pihak atasan yang tak berkesudahan.

Malanglah, jika ada sasterawan yang sedar tetapi masih memilih tema-tema 'selamat' walaupun kurang mendesak dari segi keperluan kemasyarakatannya.

Lebih malang lagilah jika seniman, ahli bahasa dan sasterawan tidak pun sedar dia sedang dilambung oleh liuk lintuk agenda yang memusuhi kepentingan massa yang sedang tertekan. Sedemikian "naive"kah sehingga laih dan daif untuk menegakkan tulang belakang tradisi perjuangan ala 'Anak Mat Lela Gila'?

Pak Sako telah mewakili zamannya. Tong Sam Pah dan Tong Ta Hi adalah unsur barua yang dilontar beliau ke muka penjajah.

Di ketika itu, ahli bahasa tidak sibuk pun untuk mengecam Pak Sako diatas kesalahan "mencemari bahasa". Apa yang penting diwaktu itu ialah luahan rasa protes melalui bahasa. Ia jitu dan cukup "timely" walaupun bahasa yang digunakan cukup memualkan. Ini dia elemen rasa yang diperkatakan Shahnon. Inilah pula luahan rasa loya Tok Guru Nik Ab. Aziz dalam menggambarkan seluruh senario realiti politik masa kini.

Penerima award filem terbaik dari Bosnia Herzegovina yang meraih anugerah antarabangsa diawal tahun ini juga telah mengambil tanggungjawab yang sama.

Seniman, ahli bahasa dan sasterawan di Malaysia kini; bagaimana?

Masihkah "sungai mahu mengalir lesu" di tengah-tengah "hujan pagi" meskipun "bulan tidak lagi bermadu di Fatehpur Sikri"? Dimana "Imam" Pak Abdullah Hussien tegak dalam hiruk-pikuk kebenaran yang kian dilayukan.

Pasti Tongkat Warrant tahu jawapannya takdirnya beliau masih ada.

Cuma barangkali Pak Samad Ismail sahaja satu-satunya lagi seniman lama yang memahami semuanya ini.

Entahlah. Buat aku, "Jika aku diberi peluang untuk tidak memaafkan orang, maka 'dia-dia'lah orang-orangnya."

Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
Pejabat Menteri Besar Kelantan


Top            Home

Sumber :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com