SONGKHLA
(Selatan Thailand), 30 Apr (Hrkh) -
Penduduk yang tinggal di kawasan terbabit dengan pembinaan saluran gas di sini
membantah keras projek tersebut kerana khuatir perkampungan tradisi mereka
musnah ekoran kewujudan projek itu.
Mereka bimbang kampung halaman yang harmonis dan institusi pengajian pondok akan
pupus dengan kewujudan projek tersebut.
Penduduk mengambil iktibar daripada projek sejauh 416 batu yang membabitkan saluran gas Thai - Burma dari Laut Andaman, mengakibat banyak perkampungan tradisi musnah.
Gas dipam dari Yadana di Burma disalurkan ke Ratchaburi, Thailand bagi menggerakkan kuasa elektrik dikendalikan Pihak Berkuasa Pembekal Elektrik Thailand (EGAT).
Penduduk di Daerah Chana, Songkhla mendakwa mereka melihat sendiri kesan-kesan yang dialami penduduk yang tinggal di kawasan projek saluran gas Thai - Burma.
Kesan kewujudan saluran gas tersebut menyebabkan penduduk yang bekerja sebagai nelayan sukar mencari sumber rezeki, kesan pencemaran, dan ledakan industri hiliran serta huluan yang pesat.
Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan saluran gas Malaysia - Thai membantah kerana mereka melihat sendiri kesan negetif di kawasan projek gas Thai - Burma.
Katanya, penduduk begitu bimbang perkampungan mereka akan pupus. "Institusi pengajian agama termasuk enam pondok tradisional yang ada sekarang akan pupus kerana projek tersebut pastinya mengundangkan wujud pelbagai jenis industri.
"Kampung kami di sini juga akan pupus dan institusi pengajian pondok akan mati sekiranya projek tersebut dibiarkan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Projek saluran paip gas 352 kilometer dari Songkhla ke Kedah dibangunkan secara usaha sama membabitkan ekuiti 50 : 50 di antara Petronas dan Pihak Berkuasa Petroleum Thailand (PTT) Plc.
Gas tersebut akan dipam dari kawasan pembangunan bersama (JDA) Malaysia - Thailand di Teluk Siam ke Kedah.
Mengikut kontrak yang dimanterai pada November 1999, Petronas akan menerima 50 peratus gas daripada projek bernilai lebih RM3 bilion itu mulai Julai 2002.
Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia dan Thailand diwakili Perdana Menterinya ketika itu, Chuan Leekpai.
Bagaimanapun projek saluran gas tersebut tertangguh hampir dua tahun ekoran bantahan penduduk tempatan.
Mengikut cadangan asal gas tersebut akan didaratkan di sekitar Ban Taling Chan, Ban Num Sakom atau Hat Sukom di Daerah Chana, Songkhla.
Sedangkan mengikut cadangan asal gas tersebut akan didaratkan di Pantai Senok, Bachok, Kelantan terletak berhampiran JDA yang dikenali sebagai Cekarawala.
Kerajaan Kelantan juga telah mempersiapkan prasarana dengan penyediaan projek hiliran di kawasan berkenaan yang dikendalikan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan iaitu Keloil Sdn Bhd.
Malah, Keloil telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan KUB Malaysia Bhd bagi mewujudkan bandar industri berasaskan petroleum di Pantai Senok. Namun, projek tersebut gagal dilaksanakan KUB.
Keloil juga telah mewujudkan Keloil Bottling dan Keloil - LPG Cylinder dengan kerjasama PTT. Kilang berkenaan sudah beroperasi beberapa tahun lalu.
PTT membekalkan gas ke kilang berkenaan di Pantai Senok.
Bantahan penduduk di Chanal, Songkhla menyebabkan kerajaan Thailand memikirkan semula, dan kemungkinan mengubah lokasi saluran paip gas Malaysia - Thai.
Penduduk sudah beberapa kali mengadakan bantahan sejak tahun 2000 sehingga memaksa kerajaan Thai menangguh projek berkenaan.
Pada 22 Oktober 2000 ribuan penduduk mengadakan demontrasi secara besar-besaran di Chana.
Bantahan penduduk tersebut dibenarkan oleh Perlembagaan Rakyat Thailand di bawah Fasal 56, yang menyebut, 'Hak bagi seseorang yang akan mengambil bahagian dengan kerajaan dan masyarakat dalam penjagaan dan memperolehi faedah dari sumber alam dan pelbagai biologikal dalam melindungi, penggalakkan dan menjaga mutu alam supaya dapat melangsungkan hidup selesa.'
Saluran paip gas dan loji pengasingan akan dibangunkan di kawasan seluas 20,000 hektar di lokasi tersebut. Projek saluran gas berkenaan melibatkan pelaburan keseluruhan bernilai RM5.7 bilion.
Mudir Pondok Tasdiqiah, Talingshan Chana, Haji Ahmad Leknek, 42 berkata, projek tersebut telah menyebabkan penduduk di Chana berpecah dua. Katanya, sebahagian mereka bersetuju dengan projek berkenaan dan sekumpulan lagi tidak bersetuju.
"Kumpulan yang bersetuju berpendapat projek saluran gas dan loji pengasingan akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
"Namun bagi kumpulan yang tidak bersetuju khuatir kesan projek berkenaan akan menyebabkan kampung mereka musnah dan impak negetif kepada alam sekitar," katanya di sini.
Menurutnya, penduduk yang tidak bersetuju telah keluar beramai-ramai membantah projek tersebut lebih setahun lalu, sehingga berlaku pertempuran dengan polis.
Menurutnya, lebih 5,000 polis dan tentera telah dikerah ke tempat kejadian untuk mengawal bantahan penduduk.
Beliau difahamkan ramai penduduk dari tempat-tempat lain termasuk di utara Thailand turut datang bergabung dengan penduduk tempatan membantah projek berkenaan.
Mereka datang dengan membawa sepanduk dan melilit kepala dengan kain bertulis 'Allahuakbar'.
"Penduduk juga telah mempersiapkan keranda bagi menyimpan mayat-mayat di kalangan mereka sekiranya kecundang bila bertempur dengan pasukan keselamatan.
"Mereka juga telah menganjurkan majlis jamuan teh bagi memunggut derma untuk membina sebuah masjid di tempat berkenaan," katanya.
Haji Ahmad juga berkata, pihak Majlis Agama Islam Songkhla pada dasarnya bersetuju dengan projek berkenaan, dengan mengambil kira manfaat kepada penduduk tempatan untuk mendapat peluang pekerjaan.
"Bagaimanapun pandangan Majlis itu belum lagi mengambil kira kesan-kesan lain yang mungkin timbul, sebagaimana dibantah penduduk," katanya yang juga anggota jawatan Majlis Agama Islam Songkhla.
Haji Ahmad juga mempersoalkan mengapa projek tersebut tidak didaratkan di Bachok, Kelantan, di mana lokasi berhampiran gas tersebut didapati.
Menurutnya, penduduk di sini begitu begitu hairan, mengapa Malaysia sanggup mengenepikan Kelantan, sedangkan penduduk di negeri tersebut hampir 100 peratus orang Islam.
"Penduduk di sini nampak projek tersebut adalah lebih bermotifkan politik dengan mengenepikan Kelantan yang diperintah oleh parti Islam dan tidak selari dengan Kuala Lumpur," tambahnya.
Penduduk juga mendakwa, orang politik di Thailand sudah lama mengambil kesempatan di atas cadangan projek berkenaan dengan membeli tanah-tanah di kawasan terbabit.
Kata mereka, orang politik mahu mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan apabila projek itu benar-benar menjadi kenyataan.
Menurutnya, orang politik cuba beriktiar mahu projek tersebut menjadi realiti bagi membolehkan pelaburan awal mereka membeli tanah di situ dimanfaatkan sepenuhnya.
Perdana
Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dikatakan akan membuat keputusan mengenai
lokasi saluan paip tersebut dalam masa terdekat ini.
Sumber :
HarakahDaily
http://www.harakahdaily.net