BAGHDAD, 30 April (Aljazeera) - Menteri Luar Iraq Naji Sobri semalam bertemu dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Igor Ivanov di Moscow untuk menyelaras kerjasama antara dua buah negara bagi mengurangkan sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Baghdad.

Ivanov yang ditemui berkata, beliau juga akan memfokuskan perbincangan dengan rakan sejawatannya itu bagi mencari penyelesaian kepada konflik yang dialami oleh Baghdad selama ini.

Moscow merupakan negara sekutu tradisi bagi Iraq malah lebih dari kawan rapat dalam Majlis Keselamatan PBB, oleh itu Moscow mencadangkan kepada Baghdad agar menerima kehadiran pemeriksa senjata PBB bagi mengurangkan sekatan.

PBB telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iraq sejak pencerobohan Iraq ke atas Kuwait pada tahun 1990.

Kunjungan Sobri ke Moscow telah disiarkan dalam akhbar New York Times semalam di mana Presiden George W. Bush telah mengisytiharkan perang ke atas Iraq pada awal tahun depan dengan penyertaan Angkatan tentera udara Amerika dan dianggarkan sebanyak 70,000 tentera dari pelbagai unit untuk menawan Iraq.

Akhbar tersebut juga melaporkan bahawa Washington akan menggunakan segala pendekatan bagi memujuk puak berhaluan kiri di Iraq untuk membantu Amerika menentang Saddam Hussein bagi merealisasikan matlamat Amerika untuk menguasai Iraq.

Sementara itu di Baghdad, Timbalan Perdana Menteri Tareq Aziz menyatakan walaupun para pemeriksa senjata PBB datang ke Baghdad untuk memeriksa dan mungkin memerintahkan agar Baghdad menyerahkan senjata-senjata tersebut, namun menurutnya Baghdad sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan sanggup berdepan dengan Amerika dalam peperangan.

Beliau berkata kepada pemberita, "perbincangan mengenai pemeriksa senjata PBB antara Iraq dan PBB akan berlangsung pada Rabu ini di New York dan sama-samalah kita tunggu keputusannya."


Top            Home

Sumber :
HarakahDaily
http://www.harakahdaily.net