Kaherah,
23 April (Asharqalawsat) -
Kesatuan pekerja-pekerja Mesir telah mengambil ketetapan untuk memboikot dari
berurusan atau berurusniaga dengan mana-mana syarikat Israel.
Ketetapan itu dibuat kerana membantah tindakan ganas dan kejam rejim Israel
terhadap rakyat Palestin. Ini adalah julung-julung kali kesatuan itu mengambil
ketetapan yang tegas yang bersifat politik sejak ditubuhkan pada tahun 1976.
Kenyataan itu dibuat semalam yang ditanda-tangani oleh Presiden Kesatuan Said al-Tawil yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada awal Mei ini dan tidak berhasrat untuk mengekalkan jawatannya.
Menurut Said, ini adalah pendirian tegas kesatuan yang telah bermesyuarat untuk tidak akan berurusan dengan mana-mana syarikat atau individu-individu Israel sebagai membuktikan kepada dunia kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan dan rejim Israel sekarang ini.
Tambah beliau, ini merupakan salah satu cara yang dapat membantu rakyat Palestin yang boleh dianggap praktikal.
Terdahulu daripada itu, kesatuan telah menyatakan prinsipnya untuk mengambil langkah yang positif bagi menghadapi peperangan menentang Israel dan kesatuan merasa hairan kenapa tindakan Israel tidak disekat oleh badan-badan besar dunia.
Sehubungan dengan itu, kesatuan telah melontarkan beberapa persoalan kepada media;
* Di manakah kita dengan rakyat Palestin?
* Kenapa orang Islam gagal menghadapi musuhnya?
* Kenapa musuh-musuh Islam boleh bertindak kejam tanpa sekatan?
* Kenapa mereka berjaya mencacatkan sejarah orang Arab dan Islam dan melabelkan mereka sebagai pengganas dan penjahat sedangkan Yahudi yang terlibat dalam keganasan antarabangsa.
Menurut Said lagi, kesatuan akan melancarkan satu usaha bagi mendorong orang Arab dan Islam sama ada secara individu atau kerajaan untuk menarik keluar pelaburan atau urusniaga di bank-bank Eropah dan Amerika bagi pembelian senjata dan pesawat canggih serta bahan-bahan makanan seperti gandum untuk mereka yang amat memerlukannya.
"Amerika
telah melakukan satu kesilapan besar dengan menyokong secara membuta-tuli
terhadap tindakan kejam Israel, kita berdoa kepada Allah supaya rakyat Palestin
diberikan kemenangan oleh Allah dan dapat mengembalikan semula negara mereka
yang tercinta," tegas beliau.
Sumber :
HarakahDaily
http://www.harakahdaily.net